First Person

Sambutan Eidul Fitri di Konsulat Jeneral Malaysia Di Melbourne

Setahun setelah mengambil alih sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Nik Muhammad Nasyron Syah bin Nik Daud, membuktikan kemesraan beliau dengan diaspora Malaysia melalui pelbagai majlis yang dianjurkan oleh beliau dan kakitangan Konsulat Jeneral di pejabat baru mereka di South Yarra. Kali ini, SBS Bahasa Melayu diundang menghadiri sambutan Eidul Fitri.

Zaini Ahmad menemubual Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud .pc.png

Zaini Ahmad menemubual Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud, sempena sambutan Eidul Fitri bersama diaspora Malaysia yang dianjurkan oleh Konsulat Jeneral di South Yarra, Victoria pada 13 April, 2024.

Bagi warga Malaysia yang merantau ke luar negara, khususnya mereka yang beragama Islam, sambutan Eidul Fitri mungkin agak berbeza sedikit berbanding di tanahair. Berada jauh dari kampung halaman dan sanak saudara mendorong warga Malaysia menyambut Syawal yang mulia bersama keluarga terdekat sahaja serta sahabat andai yang turut berada di perantauan.

Tahun ini, lebih kurang 250 warga Malaysia di Melbourne turut berpeluang menyambut Eidul Fitri bersama Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne serta kakitangan di pejabat baru Konsulat Jeneral di South Yarra, subbandar eksklusif berdekatan CBD Melbourne.

Sambutan meriah kali ini hasil usaha Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne di bawah kepimpinan Nik Muhammad Nasyron Syah bin Nik Daud, selaku Konsul Jeneral.

Setahun setelah mengambil alih sebagai Konsul Jeneral Malaysia di ibu negeri Victoria ini, Nik Muhammad Nasyron, yang lebih mesra dikenali sebagai En Nik, berazam mendekati warga Malaysia bukan sahaja di Melbourne, malahan di seluruh Victoria, demi mendalami dan memahami hasrat dan kehendak warga Malaysia yang berhijrah ke negara ini.

Majlis Eidul Fitri menyambut bulan Syawal tahun 1445 Hijriah di Konsulat Jeneral kali ini begitu meriah sekali, melihat tetamu menikmati pelbagai hidangan tradisional termasuk ketupat daun palas, rendang dan satay yang lazimnya disajikan setiap Syawal di tanahair.

Syabas kepada Konsul Jeneral, Nik Muhammad Nasyron Syah, dan team beliau menjayakan majlis Eidul Fitri tahun ini.

Jika ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Jika ada umur yang panjang
Insya'allah, boleh kita berjumpa lagi.


Share
Published 15 April 2024 1:47pm
Updated 22 April 2024 3:42pm
By Zaini Ahmad
Presented by Zaini Ahmad
Source: SBS

Share this with family and friends