First Person

Semangat Keusahawanan Tiga Rakan Menjayakan Restoran Melayu Popular Di Melbourne

Tiga warga Malaysia yang cuba mengubah nasib di Australia mengharungi pelbagai cabaran akhirnya berjaya membuka sebuah restoran Melayu di Melbourne yang begitu popular di kalangan penduduk tempatan.

Zaini Ahmad menemubual tiga rakan pemilik restoran D'Kenyang pic.png

Zaini Ahmad menemubual rakan pemilik restoran D'Kenyang, dari kiri, Abby, Bro K dan Isman

Tiga warga Malaysia, dua sahabat dari Pahang dan seorang lagi dari Pulau Pinang, datang ke Australia untuk cuba mengubah nasib mereka.

Abby Pasha dan Hairulddin Haimi telah lama berkawan kerana kedua-duanya berasal dari kampung yang sama di negeri Pahang. Hairulddin, yang lebih dikenali sebagai Bro K, datang dahulu ke Australia, diikuti oleh Abby.

Pada mulanya, seperti ramai warga Melayu yang datang ke negara ini, Bro K dan Abby bekerja di ladang sebelum menukar pekerjaan menjual sajian masakan Melayu kepada warga Malaysia yang lain. Perniagaan ini pada mulanya dijalankan dari rumah. Bro K sememangnya berpengalaman sebagai chef di Malaysia, justeru kerjaya ini bukanlah perkara baru bagi beliau.

Manakala, Noor Isman pula datang berasingan dan pada mulanya, tidak mengenali Abby dan Bro K. Namun, siapa yang tahu takdir yang ditentukan oleh ALLAH SWT dan ketiga warga Melayu ini menjadi rakan.

Sementara itu, perniagaan Bro K menyajikan hidangan Melayu dari dapur rumah beliau sendiri semakin berjaya. Kejayaan ini mendorong tiga sahabat ini untuk membuka restoran mereka sendiri di Dandenong, sebuah daerah berbilang kaum yang terletak lebih kurang 30 kilometer dari pusat bandar Melbourne. Abby, Bro K dan Isman memilih D'Kenyang sebagai nama restoran mereka.

Sejak penubuhannya, D'Kenyang kini begitu popular sekali di kalangan penduduk tempatan. Tiga sahabat ini membahagikan tanggungjawab menjayakan restoran mereka. Bro K selaku chef, Abby bahagian perkhidmatan pelanggan dan perhubungan awam, manakala Noor Isman pula memegang tanggungjawab pentadbiran dan kewangan.

Jelas sekali, kejayaan D'Kenyang adalah hasil semangat keusahawanan tiga sahabat yang jauh meninggalkan sanak saudara di tanahair untuk mencari peluang baru. Syabas kepada Abby, Bro K dan Isman.


Share
Published 12 April 2024 3:08pm
Updated 21 April 2024 9:23pm
By Zaini Ahmad
Presented by Zaini Ahmad
Source: SBS

Share this with family and friends